Sunday, March 2, 2008

ASYRAF WAJIDI DATUK DASUKI, DR

Dilahirkan pada 14 Mei 1976, merupakan cahayamata ketiga kepada Dato' Haji Dusuki Ahmad dan Datin Hajjah Nik Nooraini Nik Yahya.

Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAP Labu), Negeri Sembilan.

Dalam pengajian pendidikan tinggi, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Perakaunan serta mendapat Anugerah Pelajar Terbaik (Anugerah Rektor) di Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tahun 2000.

Beliau telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan Peringkat Kebangsaan daripada Malaysian Association of Certified Public Accountant (MACPA) dan Hadiah Pingat Emas untuk Anugerah Graduan Terbaik bidang Perakaunan Peringkat Kebangsaan yang dianugerahkan oleh Harvard Business School Alumni Club of Malaysia.

Dr. Asyraf Wajdi meneruskan pengajian sarjana (M.Sc with distinction in Islamic Economics, Banking and Finance) dan Ijazah Kedoktoran (Islamic Banking and Finance) di Universiti Loughborough, United Kingdom.

Beliau bertugas sebagai Penolong Professor dan pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penglibatan dalam bidang perbankan dan ekonomi Islam diteruskan dengan pembabitan beliau sebagai ahli kepada International Association for Islamic Economics dan penulisan jurnal/makalah akademik tempatan serta antarabangsa.

Beliau juga adalah Ahli Panel Syariah Affin Islamic Bank. Dalam bidang latihan dan pembangunan modal insan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga terlibat dalam memberi latihan dan ceramah untuk kakitangan institusi seperti Petronas Gas Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank), RHB Bank, Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), dan Bank Negara.

Dalam aktiviti masyarakat, Dr. Asyraf Wajdi banyak terlibat dengan program Kementerian Belia dan Sukan melalui persatuan belia.

Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1999-2000, Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) dan menjadi ahli kepada Majlis Perundingan Belia Nasional (MPBN) 2000-2001 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Dr. Asyraf Wajdi juga telah dilantik menjadi pakar rujuk Majlis Perundingan Belia Wilayah Persekutuan bermula tahun 2006.

Kini beliau menjadi panel penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan penulis di Ruang Agama, Mingguan Utusan pada setiap minggu. Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga telah diamanahkan menjadi Pengerusi Yayasan Darul Hanan sebuah yayasan yang menjalankan program pendidikan dan kebajikan di Tumpat, Kelantan.


================================================================

07/03/2008


Asyraf pilih politik sebagai wadah berdakwah
Oleh AZRAN FITRI RAHIM (WARTAWAN UTUSAN)

DALAM dunia keilmuan, gerakan dan perbankan Islam di negara ini, nama Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dusuki mungkin tidak memerlukan banyak pengenalan.

Di tempat kelahirannya di Tumpat, namanya bagi masyarakat setempat mudah sahaja mengingatkan orang tentang ayahnya, seorang bekas pemimpin politik dan moyangnya Tok Selehor, ulama terbilang.

Dalam dirinya seakan-akan mula bersatu warisan mereka dan tokoh muda itu mengejutkan ramai kenalan apabila beliau sanggup meninggalkan dunia kesarjanaan dengan memasuki alam politik dam memilih UMNO dan Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan.

Jika sebelum ini, namanya mengisi ruangan rencana agama dalam akhbar menggupas pelbagai persoalan dan melontar pelbagai pandangan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi mengikut perspektif agama, kini beliau pula sering menjadi bahan berita.

Asyraf Wajdi yang semasa kecilnya kerap juga mengekori ayahnya yang pernah menjadi Ahli Parlimen Tumpat ke majlis-majlis politik , kini beliau ditakdir bertanding bagi merebut kerusi itu yang kini dikuasai oleh Pas.

Pencalonannya menjadikan kerusi Parlimen Tumpat sebagai satu salah kerusi panas yang akan diperhatikan umum dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 nanti, apabila beliau berhadapan dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaafar.

Bagi mereka yang mengenali Asyraf Wajdi, beliau dilihat calon paling sesuai untuk mencabar Kamaruddin yang akan mempertahankan kerusinya.

Asyraf Wajdi menawarkan diri dengan latar keilmuan, kesederhanaan dan sifat kepimpinannya sebagai tiket. Cicit Tok Selehor (Abdul Rahman Uthman) ini pernah membimbing Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada tahun 1999 sehingga 2001.

Graduan terbaik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 2000 itu meletakkan formula yang berasaskan kasih sayang menjadi agenda utama beliau dalam berkempen.

Asyraf Wajdi menyifatkan kehadirannya di pentas politik tanah air adalah masa terbaik baginya untuk merealisasikan ideanya semasa memimpin PKPIM.

“PKPIM merupakan sebuah organisasi ‘non partisan’, tugas utamanya untuk mengkritik apa saja yang tidak betul pada kerajaan, pembangkang atau mana-mana pihak sekali pun.

“Setiap persatuan pelajar ada idealismenya sendiri, jadi ini merupakan masa paling sesuai untuk saya menterjemahkan idea tersebut di dunia sebenar,” katanya.

Katanya, ramai pemimpin yang ada pada masa kini, seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lahir daripada pentas kepimpinan persatuan pelajar dan tidak salah baginya untuk turut sama mengikut jejak langkah mereka.

Bekas pensyarah di Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa itu menjelaskan langkahnya untuk menyertai UMNO kerana sedar hanya parti itu sahaja yang mampu memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Ia selaras dengan jiwa saya yang mahu memperjuangkan Islam dan melihat tidak ada parti lain yang mampu untuk melaksanakan Islam di negara ini.

Menurut Asyraf Wajdi, sebenarnya pencalonan dirinya adalah di luar jangkaan.

“Saya hanya mengetahui terpilih dalam pencalonan ini di saat-saat akhir. Setelah memikirkan dengan mendalam, merenung keadaan masyarakat yang memerlukan perubahan dan pembangunan saya mengambilnya sebagai positif serta salah satu usaha dakwah,” katanya.

Masalah kemiskinan di Tumpat akan menjadi agenda utamanya sekiranya diberi peluang oleh penduduk di kawasan berkenaan untuk memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.

Tambahnya, pengundi di Kelantan semakin bijak berpolitik dan mereka tahu untuk memilih pemimpin yang mampu untuk membawa kebaikan serta pembangunan di negeri ini.

No comments: