Wednesday, March 5, 2008

HILMI YAHYA, DATUK DR

Nama: Datuk Dr. Hilmi Yahaya
Tarikh Lahir: 6 Mac 1949
Tempat Lahir: Balik Pulau, Pulau Pinang
Jawatan: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang

PENGALAMAN mengejut dilamar oleh Pas untuk dicalonkan pada pilihan raya umum kira-kira 20 tahun lalu beliau sudah enam tahun berada dalam Jawatankuasa UMNO Bahagian Balik Pulau.

Bagaimanapun doktor perubatan yang menguruskan klinik miliknya, Klinik Seri Pulau, menolak pelawaan tersebut memandangkan kesetiaan dan perjuangannya terhadap UMNO telah lama dizahirkan.

Pada tahun yang sama, Dr. Hilmi ditawarkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang oleh UMNO dan kepercayaan itu dibalas dengan khidmat berterusan kepada parti dan rakyat sehingga diberi kepercayaan menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang sehingga sekarang.

Mungkin kerana sifatnya yang mudah tersenyum dan sentiasa bercampur dengan segenap lapisan masyarakat sesuai dengan profesion doktor yang berkembang di sebuah kampung -maka ada pihak yang melontarkan tanggapan berbeza.

Kedudukannya sebagai anak sulung kepada bekas guru besar Sekolah Agama Permatang Pasir, Balik Pulau, Yahaya Che Mat atau dikenali sebagai Pak Ngah Yahaya juga mungkin menjadi pemangkin penglibatannya dalam politik.

Menceritakan pengalamannya dalam politik dan kemasyarakatan, Dr. Hilmi, 55, memberitahu, kecenderungan berpolitik sudah berputik sejak di bangku sekolah dan dikembangkan lagi ketika menuntut di Universiti Malaya apabila sempat menubuhkan Persatuan Mahasiswa Islam Perubatan sebagai wadah kepada pelajar bersuara.

Beliau turut menceritakan pengalaman yang menjadikannya lebih matang iaitu dengan menyelami perjuangan dan syarahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia.

Sebab itulah apabila lulus daripada pengajian perubatan di Universiti Malaya pada 1977, tanpa berlengah beliau terus mendaftar sebagai ahli UMNO dan bergiat secara aktif.

Dr. Hilmi mempunyai sejarah politik yang berkembang secara perlahan-lahan di peringkat bahagian iaitu bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang selama tiga penggal sebelum beralih angin ke Parlimen Balik Pulau bermula Mac lepas.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selama dua penggal sebelum menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga pilihan raya umum Mac 2004.

Sepanjang penglibatannya di peringkat negeri, beliau mempunyai pengalaman menerajui Jawatankuasa Agama Negeri Pulau Pinang, Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah, Perancangan dan Penyelarasan Program Pembangunan Negeri Pulau Pinang serta pelbagai portfolio lain.

Selaku ketua kepada orang Melayu Pulau Pinang, beliau telah diletakkan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 2000.

Dr. Hilmi yang mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Jamilah Mohd Zain dan dikurniakan lima orang anak turut menganggap amanah sebagai seorang pemimpin dengan tanggungjawab besar itu penting demi memelihara perjuangan yang bakal diwariskan

No comments: