Sunday, March 2, 2008

GHAPUR SALLEH, DATUK

Nama: Datuk Ghapur Salleh
Tarikh Lahir: 21 Mac 1943
Tempat Lahir: Tawau
Jawatan: Ahli Parlimen Kalabakan



Datuk Ghapur Salleh merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri selama dua tahun mulai 1996.

Anak jati Tawau itu mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tawau dan di peringkat menengah di Sekolah Holy Trinity, Tawau.

Beliau memulakan karier politiknya awal tahun 70-an dengan menyertai Parti Berjaya yang diterajui oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Harris Salleh.

Atas tiket Berjaya, Ghapur pertama kali dipilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Tawau, pada pilihan raya tahun 1976, tetapi tewas kepada calon USNO.

Bagaimanapun beliau berjaya memenangi kerusi DUN Merotai pada pilihan raya 1981 yang kemudiannya dipertahankan pada 1985 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Ghapur mengambil keputusan untuk menyertai UMNO pada tahun 1991 dan setahun kemudian dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Tawau.

Pada pilihan raya 1994, beliau sekali lagi menang di DUN Merotai dan pada pemilihan parti setahun selepas itu, Ghapur kekal menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO bahagian.

Karier politik Ghapur semakin kukuh apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kewangan Sabah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah pada tahun 1996.

Pada Disember 1997, Ghapur mengambil keputusan mengejut dengan meletakkan ketiga-tiga jawatan berkenaan termasuk sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Bagaimanapun beliau sekali lagi mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tawau dengan menang tanpa bertanding pada pemilihan parti 1998 dan mengekalkannya pada pemilihan 2001.

Pada pilihan raya umum 1999, Ghapur memenangi kerusi DUN Kalabakan dan dipilih semula menganggotai barisan Kabinet Negeri sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Pada April 2003 beliau digugurkan daripada barisan Kabinet Negeri di bawah Ketua Menteri baru, Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, beliau diberi kepercayaan bertanding kerusi baru Parlimen Kalabakan dan memenanginya tanpa bertanding.

No comments: