Sunday, March 2, 2008

AHMAD HUSNI HANADZLAH, DATUK

Nama: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah
Tarikh Lahir: 21 Julai 1952
Jawatan: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Ahli Parlimen Tambun

DATUK Ahmad Husni Hanadzlah pakar dalam bidang ekonomi dan mahu kepakaran yang dimiliki turut dikongsi bersama dengan rakyat dan negara.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan turut mengikuti program lepasan ijazah dari Institut Pengurusan Asia di Manila, Ekonomi Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Penyelidikan Antarabangsa Singapura dan Institut Bank Malaysia.

Penglibatan Ahmad Husni dalam arena politik negara bermula sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian, Naib Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian sebelum dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Tambun dari tahun 1993 sehingga kini.

Beliau juga adalah AJK Badan Perhubungan UMNO Perak serta Pengerusi Jawatankuasa Keahlian dan Pendaftaran Pemilih UMNO Perak. Di peringkat nasional pula, Ahmad Husni pernah memegang jawatan Ahli Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Parlimen dan AJK Penerangan UMNO.Di peringkat antarabangsa pula, Ahli Parlimen Tambun ini juga Timbalan Pengerusi Kesatuan Inter-Parlimen cawangan Malaysia dan Pengerusi Kesatuan Kumpulan Geopolitik Inter-Parlimen ASEAN.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Pengerusi Matrade dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

Ahmad Husni juga kerap mewakili negara di peringkat antarabangsa antaranya sebagai Ketua Delegasi Mesyuarat UNCTAD di Sao Paulo, Brazil, delegasi Malaysia ke persidangan WTO Cancun, Mexico dan Ketua Delegasi Parlimen Malaysia ke Persidangan IPU ke-109 Geneva.

Beliau yang berkahwin dengan Datin Fauziah Kamarudin memiliki empat putera yang berumur antara l6 hingga 20 tahun.

No comments: