Sunday, March 2, 2008

ANNUAR MUSA, DATUK

Nama: Datuk Annuar Musa
Tarikh Lahir: 18 Mei 1956
Tempat Lahir: Bukit Marak, Kelantan
Jawatan: Ketua UMNO Bahagian Ketereh.


BEKAS Menteri Pembangunan Luar Bandar yang kini dikenali sebagai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Annuar Musa telah menjadi Ketua Bahagian UMNO selama 20 tahun di samping selama 14 tahun menjadi ahli MT dan sebagai menteri hampir 10 tahun.

Annuar yang boleh dianggap orang lama dalam UMNO Kelantan memiliki sarjana dalam Pengurusan Pembinaan dari University College of London.

Sebelum itu beliau memperoleh ijazah sarjana muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain aktif dalam politik, Annuar juga merupakan ahli Institut Perancang Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pengarah, Bahagian Perancang Korporat, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan.

Walaupun beliau telah bergiat aktif dalam UMNO sejak tahun 1979, namun ketokohannya mula ketara apabila dipilih bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peringat pada tahun 1986 dan berjaya menewaskan calon Pas, Daud Jusoh dengan majoriti 136 undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya tahun 1990 beliau tewas kepada calon pembangkang itu, Mohd. Sabu di Parlimen Peringat.

Kekalahan itu bagaimanapun ditebus pada tahun 1995 apabila beliau menang di Parlimen yang sama tetapi menewaskan calon S46, Rafei Mat Salleh.

Namun Annuar sekali lagi tewas di Parlimen Peringat pada pilihan raya umum 1999, tetapi kali ini kepada calon Keadilan, Mohamad Mustafa.

Pada pilihan raya umum lalu pula, beliau kembali menebus kekalahan itu dengan memenangi kerusi DUN Kok Lanas apabila menewaskan Md. Ashari Mamat dari Pas.
Selain pengalaman bertanding pilihan raya, Annuar juga berpengalaman luas dalam parti termasuk menjadi ahli MT sejak 1991 hingga kini.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Barisan Nasional Kelantan (1994-2001) dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan (1991-2003).

Di peringkat bahagian beliau pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Nilam Puri dan Peringat dari 1986 hingga kini.

Annuar berkahwin dengan Datin Rosniah Abdul Rahman dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Azzahraa, Azzwaa, Ajjrina dan Afiq Amani.

No comments: