Sunday, March 2, 2008

HISHAMUDDIN HUSSEIN, DATUK SERI

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (lahir 1961) merupakan Menteri Pelajaran Malaysia terkini dan Ketua Pemuda UMNO (2000-2003).

Pendidikan awal

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein telah dilahirkan di Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1961. Mendapat pendidikan awal di Sek. Ren. St. John's Kuala Lumpur dan Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Hushamuddin seterusnya melanjutkan pengajian ke University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom dan dianugerahkan Ijazah Undang-Undang (LLB Hons) pada tahun 1984. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan memperolehi LL.M (London) dalam bidang Undang-Undang Komersil dan Korporat daripada London School of Economics, United Kingdom.

Kerjaya politik

Hishamuddin merupakan ahli UMNO Cawangan Sri Tambak, Sembrong, Johor. Beliau kini juga memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Ketua Pemuda UMNO Malaysia Ketua Pemuda Barisan Nasional Malaysia. Selain itu, Y.B. Dato' Seri turut dilantik sebagi Ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Biro UMNO Malaysia.

Beliau pernah juga dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara dan Ketua UMNO Bahagian Tenggara.

Kerjayanya sebagai wakil rakyat bermula apabila beliau bertanding di kerusi Parlimen Tenggara pada piliha raya umum tahun 1995. Pada tahun 1999, iaitu pilihanraya berikutnya, beliau telah berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut.

Walau bagaimanapun, kesan daripada persempadanan semula yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), beliau telah bertukar ke kawasan baru, iaitu Parlimen Sembrong pada pilihan raya ke-11 yang lalu. Beliau menewaskan calon PAS, Onn Jaafar dengan majoriti 16,978 undi.

Sebagai seorang wakil rakyat, Dato' Seri Hishamuddin bertekad untuk membangunkan kawasan Parlimen Sembrong ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sejak menjadi Ahli Parlimen, beliau telah berkhidmat di pelbagai kementerian. Pada tahun 1995, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada tahun 1997. Sejak tahun 1999 hingga 2004 pula, beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Kini, setelah tamat pilihan raya 2004, beliau mempunyai tanggungjawab sebagai Menteri Pelajaran.

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Sri Marsila Tengku Abdullah dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Beliau meminati sukan taekwando.

No comments: