Sunday, March 2, 2008

AHMAD ZAHID HAMIDI, DATUK DR

Nama: Datuk Ahmad Zahid Hamidi
Tarikh Lahir: 4 Januari 1953
Tempat Lahir: Bagan Datoh, Perak
Jawatan: Timbalan Menteri Penerangan

Kesetiaan Datuk Ahmad Zahid terhadap UMNO terbukti apabila beliau dipilih sekali lagi oleh pucuk pimpinan UMNO bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datoh pada pilihan raya umum 1999.

Ini sekali gus membuktikan bahawa nama Zahid Hamidi masih belum terpadam dari arena politik tanah air termasuklah dalam UMNO sendiri.

Pilihan raya umum 1999 ditempuhinya dengan cemerlang apabila menang dengan majoriti selesa walaupun UMNO ketika itu terpaksa mengharungi badai yang tidak kurang derasnya.

Ini tidak menghairankan kerana nama Ahmad Zahid sememangnya cukup sinonim dengan pengundi di Bagan Datoh yang juga daerah di mana terletaknya Kampung Sungai Nipah Darat, kampung kelahirannya.

Dan ketika berlangsungnya pemilihan UMNO 2000, Ahmad Zahid menawarkan diri bertanding merebut kerusi MT.

Tanpa sebarang jawatan dalam Kabinet dan berserta pula `sejarahnya', percubaan Ahmad Zahid dilihat tidak lebih sekadar mengadu nasib.

Namun sekali lagi Ahmad Zahid membuktikan bahawa tanggapan tersebut jauh meleset apabila dipilih menjadi ahli MT dan tanpa disangka-sangka beliau mendapat undi kelima tertinggi.

Sebelum menceburi bidang politik Ahmad Zahid adalah seorang bankers dan pernah berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC, Bank Simpanan Nasional dan juga Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Berdasarkan pengalaman itu juga beliau dilantik menjadi Pengerusi BSN pada tahun 1995 sebelum melepaskan jawatannya pada tahun 1998.

Bagaimanapun dalam tempoh yang singkat itu, beliau berjaya mengubah BSN daripada imej `bank pejabat pos' kepada sebuah bank yang cukup disegani.

Sekembalinya ke arus perdana pada tahun 1999, Zahid dilantik pula sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Akhirnya selepas memenangi kerusi Parlimen Bagan Datoh buat kali ketiga pada pilihan raya umum yang lalu, Zahid berjaya menambat kepercayaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menganggotai Kabinet sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Pemilihan itu dilihat ramai pemerhati sebagai bertepatan kerana pengalamannya yang luas dalam sektor perbankan dan korporat, maka beliau memang diperlukan bagi menjana sektor pelancongan yang kini menjadi industri penting negara.

Bapa kepada lima orang anak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaya pada tahun 1976.

Beberapa tahun yang lalu, beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas mengenai pemilihan kali ini, Zahid dengan rendah diri merakamkan penghargaan di atas sokongan yang diberikan oleh seluruh bahagian UMNO.

Katanya, penawarannya ini adalah bagi mewujudkan kesinambungan dalam parti dan pada masa yang sama memanfaatkan platform MT demi memantapkan parti dan juga tugas beliau dalam Kabinet.

Beliau baru sahaja memperoleh ijazah PhD dari Universiti Putra Malaysia.

No comments: