Sunday, March 2, 2008

JAMALUDIN MOHD JARJIS, DATUK DR

Nama: Datuk Dr. Jamaludin Mohd. Jarjis
Tarikh Lahir: 25 Mei 1951
Tempat Lahir: Pekan, Pahang
Jawatan: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahli Parlimen Rompin, Ketua UMNO Bahagian Rompin


Dr. Jamaludin dianggap sebagai tenaga baru dalam barisan Jemaah Menteri apabila dilantik terus ke jawatan Menteri Kewangan Kedua pada 21 November 2002.

Beliau kemudiannya berpindah sementara ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam rombakan kecil Kabinet pada Januari lalu sebelum diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada 30 Mac 2004.

Kecemerlangan akademik merupakan perkara utama yang sering ditekankan oleh Dr. Jamaludin.

Beliau sendiri memiliki ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dari Institut Sains dan Teknologi di Universiti Manchester, United Kingdom, yang diperolehnya pada tahun 1974.

Tiga tahun kemudian, beliau menggenggam pula ijazah Sarjana Sains dalam bidang yang sama dari Universiti Manitoba, Kanada, sebelum memperoleh Doktor Falsafah (Ph.D) Kejuruteraan Elektrikal (Sistem Tenaga) dari Universiti McGill, juga di Kanada, pada 1980.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah elektrik di Institut Teknologi Malaysia pada 1974 sebelum menyambung pengajian di Kanada.

Selepas memperoleh Ph.D, Dr. Jamaludin menyambung perkhidmatan di institut berkenaan yang dinaik taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia sebelum meletakkan jawatan pada tahun 1984 untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan perundingan kejuruteraan melalui syarikat yang diasaskannya secara bersama, J & A Associates.

Pengalaman serta kepakaran dalam bidang tenaga membolehkan kerajaan memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd., sebagai Pengerusi antara Ogos 2000 sehingga beliau dilantik sebagai menteri penuh.

Dr. Jamaludin berpengalaman luas dalam politik dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, masing-masing untuk tempoh 1990-1993 dan 1988-1993.

No comments: