Sunday, March 2, 2008

MOHD JOHARI BAHARUM, DATUK

Nama: Datuk Mohd. Johari Baharom
Tempat Lahir: Kubang Pasu, Kedah



DATUK Mohd. Johari Baharom pernah menjadi Setiausaha Politik kepada dua Perdana Men-teri iaitu Dr. Mahathir dan juga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Johari mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah.

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang pendidikan seterusnya ke United Kingdom dan Universiti of Waikato, New Zealand dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

Beliau yang pernah bertugas sebagai guru pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad pada bulan September 2001.

Johari mula serius dalam bidang politik sejak tahun 1979 yang mana jawatan pertamanya ialah sebagai ahli jawatankuasa Pemuda bahagian dan Ketua Pemuda bahagian Kubang Pasu.

Dari situ beliau terus bertapak sebagai pemimpin di peringkat bahagian dengan memenangi jawatan Naib Ketua bahagian Kubang Pasu pada April 2001 tanpa bertanding.

Beliau seterusnya menjadi Timbalan Ketua Penaja UMNO bahagian tersebut pada tahun 2003.

Bagaimanapun pada pemilihan peringkat bahagian tahun ini beliau telah menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu yang dikosongkan oleh Dr. Mahathir.

Johari dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Abdullah yang merupakan Menteri Dalam Negeri.

Sementara pada tahun 2000 beliau dilantik pula sebagai Setiausaha Politik Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Politik I kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr. Mahathir.

Johari bagaimanapun melepaskan jawatan itu untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu di Parlimen Kubang Pasu.

Pada pilihan raya tersebut beliau berjaya menewaskan calon Pas, Abdul Isa Ismail dengan majoriti 13,712 undi.

Johari berkahwin dengan Datin Maziah Mohd. Hashim dan dikurniakan dengan empat orang anak iaitu tiga orang perempuan dan seorang lelaki.

No comments: