Monday, March 3, 2008

SHAZIMAN ABU MANSOR, DATUK

Datuk Shaziman Abu Mansor
Tarikh Lahir: 20 Januari 1964
Tempat Lahir: Ipoh, Perak
Jawatan: Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi.


KERJAYA politik Datuk Shaziman Abu Mansor bermula dari bawah iaitu dengan menjadi ahli UMNO Cawangan Tampin Bandar, Tampin, Negeri Sembilan, pada tahun 1991.

Dari situ beliau menapak sehingga dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO negeri pada tahun 1997 dan Ketua UMNO Bahagian Tampin pada tahun 2001 semasa berusia 37 tahun.

Anak kelahiran Ipoh, Perak tetapi dibesarkan di Tampin itu mengekalkan jawatan yang disandangnya pada pemilihan bahagian baru-baru ini apabila menang tanpa bertanding.

Shaziman yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tunku Besar Tampin merupakan antara pemimpin generasi muda yang menunjukkan prestasi membanggakan dalam karier politik.

Beliau dipilih buat pertama kali sebagai calon Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 1999 bagi kawasan Parlimen Tampin yang dimenanginya dan berjaya mengekalkan kerusinya itu pada pilihan raya umum Mac lalu.

Walaupun pilihan raya umum 1999 disifatkan sebagai tahun krisis bagi UMNO tetapi Shaziman sebagai muka baru berjaya menang dengan majoriti 9,979 undi selepas menewaskan Hamdan Hashim (Pas).

Pada pilihan raya umum Lalu, beliau sekali lagi mencatat kejayaan cemerlang apabila menewaskan calon Pas, Abdul Razakek Abdul Rahim dengan majoriti sebanyak 18,084 undi.

Anak kepada bekas pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini merupakan antara pemimpin muda yang lantang memperjuangkan isu-isu membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Antaranya ialah isu kegagalan kontraktor menyiapkan makmal komputer sekolah di seluruh negara.

Beliau merupakan bekas penuntut Universiti Indiana, Amerika Syarikat dalam jurusan Kejuruteraan Awam itu

Shaziman yang berkongsi hidup dengan Datin Rozana Mohd. Khalid juga amat terkenal dengan sikapnya yang mudah didekati oleh segenap lapisan masyarakat Tampin.

Dalam pada itu, `Suara Tampin' yang diterbitkan hasil inisiatifnya untuk memberikan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan yang dijalankan di daerah Tampin begitu sinonim dengan penduduk kawasan itu.

Ia bagi memastikan setiap penduduk mendapat maklumat terkini mengenai pembangunan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh beliau.

No comments: