Monday, March 3, 2008

TENGKU ADENAN TENGKU MANSOR

Nama: Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor
Umur: 53
Tarikh Lahir: 12 Disember 1950
Tempat Lahir: Melaka
Jawatan: Ahli Parlimen Putrajaya.


DATUK Tengku Adnan Tengku Mansor antara nama yang pernah memenangi jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tanpa mempunyai sebarang jawatan dalam parti pada pemilihan 1993.
Tengku Adnan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Batu Road, Kuala Lumpur dan kemudiannya Sekolah Tinggi Setapak.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan kemudiannya ke University of Southern California.

Selepas berkhidmat sebagai Pengurus Besar Jualan, Carpet International Berhad dari 1972 hingga 1979, beliau menceburi bidang korporat bersama saudara lelakinya menubuhkan Tadmansori Holdings.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mula melibatkan diri dalam politik sejak awal tahun 1980-an dan antara jawatan terawal dipegang ialah Ketua Penerangan UMNO cawangan Kampung Bakti Seputeh (1984-86).

Kemudiannya, kedudukan beliau meningkat tahap demi tahap hingga dipilih sebagai Ketua UMNO bahagian Seputeh pada tahun 1998.

Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Senator Dewan Negara sebelum menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2001.

Setahun selepas itu beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tengku Adnan dilantik semula sebagai Senator Dewan Negara pada 2003 sebelum melepaskannya tahun berikutnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya dan berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Abdul Rahman Othman dengan majoriti 3,546 undi.

Pada 1999 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Kerja UMNO yang kemudiannya dilepaskan awal tahun ini selain sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Beliau berkahwin dengan Datin Enny Beatrice Ferlat Anggraini dan dikurniakan sembilan anak. #

No comments: