Sunday, March 2, 2008

MOHAMAD KHIR TOYO, DATUK SERI DR

Nama: Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo
Tarikh Lahir: 6 Ogos 1965
Tempat Lahir: Sekinchan, Selangor
Jawatan: Menteri Besar Selangor dan ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang.


Pemimpin muda yang sedang meningkat naik serta menerajui kepimpinan negeri termaju di Malaysia.

Mohamad Khir yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Berjaya Parit 3, Sungai Burung, Tanjong Karang, mula aktif berpolitik selepas menamatkan pengajian dalam bidang pembedahan pergigian di Universiti Malaya pada tahun 1989.

Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai doktor gigi dan berkhidmat di beberapa bandar di Sabah, beliau bijak membahagikan masa untuk aktiviti politiknya sehingga berjaya menjadi Ketua UMNO cawangan Sungai Burung Timur pada tahun 1993.

Pada pilihan raya tahun 1999, Mohamad Khir telah dipilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang dan menang dengan majoriti 165 undi walaupun beliau merupakan muka baru dan politik orang Melayu ketika itu sedang dilanda krisis.

Di sebalik kemenangan dengan undi yang tipis itu, potensi, semangat dan daya tahan beliau sebagai pemimpin pelapis dapat dilihat oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mungkin, pada pandangan Dr. Mahathir, kepayahan hidup yang dilaluinya semasa menuntut di universiti dan kesanggupannya berbasikal ketika berkempen pada pilihan raya 1999 untuk memenangi hati rakyat adalah petunjuk kepada kebolehan Mohamad Khir.

Apabila Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Abu Hassan Omar melepaskan jawatannya, beliau telah dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-13 walaupun namanya tidak `tersenarai' sebagai calon favourite menggantikan Abu Hassan.

Orang politik dan rakyat seluruhnya tertanya-tanya dan ada yang mempersoalkan tindakan Dr. Mahathir melantik Mohamad Khir tetapi anak muda ini membuktikan pelantikan itu adalah tepat walaupun beliau baru berusia 35 tahun dan tiada pengalaman luas dalam politik.

Dalam bidang politik, keterampilan Mohamad Khir semakin terserlah dan beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Pengerusi BN Selangor pada Januari 2002 dan menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pada mesyuarat perwakilan bahagian Julai lalu.

Beliau juga mengukuhkan kerjaya politiknya dengan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang pada pilihan raya umum Mac lalu dengan majoriti 5,460 undi dan berjaya memimpin BN Selangor mencapai kejayaan cemerlang pada pilihan raya itu.

Mohamad Khir berkongsi suka duka kehidupan dengan Datin Seri Zaharah Kechik dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu Mohd. Farizul, Nurul Asyikin dan Nurr Dianna.

No comments: