Sunday, March 2, 2008

MOHD ZIN MOHAMED, DATUK IR

Nama: Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed
Tarikh Lahir : 28 Mac 1954
Tempat Lahir: Muar, Johor
Jawatan: Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Sepang



Beliau bukan baru dalam bidang politik malah sebelum ini Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed dikenali ramai sebagai bekas Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan (BBC) sejak 2002 hingga Mac 2004.

Bekas jurutera yang menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Virus Japanese Encephalitis (JE) di Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA).

Anak kelahiran Muar itu mendapat pendidikan di Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1977 dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Jurutera Struktur, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di Bradley University, Peoria, Amerika Syarikat pada 1980 dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi iaitu sarjana di universiti yang sama.

Sementara itu dalam bidang politik pula, beliau pernah menjadi Ketua UMNO Cawangan Seksyen 8, Shah Alam pada 1986-1993 dan kemudiannya menjadi Ketua Pemuda UMNO Shah Alam pada 1989-1994.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Bendahari Pemuda UMNO Selangor serta Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Mohd. Zin juga pernah menjadi Setiausaha, Jawatankuasa Petugas MT UMNO Bagi Menangani Fitnah selain ahli Panel Peguam Majlis Tertinggi UMNO.

Pada 2001, beliau dipilih semula sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam.

Pada 2003 beliau dilantik sebagai Ketua Penaja, UMNO Bahagian Kota Raja dan kemudiannya Ketua Penaja UMNO Bahagian Sepang ekoran peletakan jawatan Datuk Mohd. Sharif Jajang.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Zin berjaya menewaskan calon Pas, Mohamed Makki Ahmad bagi kawasan Parlimen Sepang dengan majoriti 18,837 undi.

Mohd. Zin berkahwin dengan Datin Azlina Ahmad dan dikurniakan lima anak, Irwan Arif, Shahree, Zubir, Shafiq dan Aishah.

No comments: