Sunday, March 2, 2008

MOHD KHALED NORDIN, DATUK

Nama: Datuk Mohamed Khaled Nordin
Tarikh Lahir: 30 November 1958
Tempat Lahir: Johor Bahru
Jawatan: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Ahli Parlimen Pasir Gudang berpendapat semua pemimpin perlu merujuk kepada parti supaya bila berkhidmat di dalam kerajaan ia tidak akan lari daripada kehendak parti.

Dilahirkan pada 30 November 1958, beliau yang mudah mesra dan dirapati oleh orang ramai mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Ledang, Muar, High School Muar, English College Johor Bahru dan Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang) dengan kepujian.

Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Undang-Undang Petronas (1982 hingga 1983), Mohamed Khaled, seorang peguam bertauliah bermula sebagai ahli biasa di dalam UMNO pada tahun 1978.

Mohamed Khaled juga merupakan Setiausaha Politik kepada Datuk Shahrir Abd Samad selama tiga tahun ketika Shahrir menjawat Jawatan Menteri Wilayah Persekutuan (1984 hingga 1986) dan Menteri Kebajikan Masyarakat (1986 hingga 1987).

Pada tahun 1998 beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru sehingga 2003 dan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Johor, beliau dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Tebrau (Januari 2004).

Bekas Timbalan Menteri Kerjaraya itu (1999 hingga Mac 2004) pernah dinamakan untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar Johor dari Datuk Abdul Ghani Othman pada pilihan raya umum Mac lalu apabila dicalonkan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram.

Tetapi, akhirnya Mohamed Khaled ditukarkan untuk bertanding kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Kini beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dan Ketua Penerangan UMNO Johor di samping menjawat jawatan sebagai Presiden Majlis Belia Johor, Yang Dipertua Koperasi Pemandu Teksi Johor Bahru Bhd., Penaung Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee dan Penaung Junior Chamber Johor Bahru.

Beliau yang berkongsi hidup dengan Datin Rosni Omar dikurniakan seorang cahaya mata. -

No comments: