Sunday, March 2, 2008

ABDUL AZIZ SHAMSUDDIN, DATUK

Nama: Datuk Abdul Aziz Samsudin
Tarikh Lahir: 10 Jun 1938
Tempat Lahir: Gopeng, Perak
Jawatan: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah

NAMA Datuk Abdul Aziz Samsudin cukup dikenali sebagai orang di belakang tabir ketika negara dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau dilihat cukup berpengalaman dalam parti.

Walaupun pada mulanya beliau kurang dikenali dan dilihat kurang menonjol namun sebenarnya peranan dan perancangan beliau banyak mewarnai senario politik tanah air.

Selama lebih 20 tahun bersama Dr. Mahathir mendedahkan beliau kepada pelbagai pengalaman sama ada dalam berpolitik atau pentadbiran.

Beliau dilantik sebagai pegawai khas bekas Perdana Menteri itu pada tahun 1975, ketika Dr. Mahathir memegang jawatan Menteri Pelajaran.

Bagaimanapun pada tahun 1979 hingga 1981, beliau dilantik sebagai Pengarah Penyelidikan (Belia), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Apabila Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, Abdul Aziz telah dilantik sebagai Setiausaha Politik hingga tahun 1999.

Beliau melepaskan jawatan daripada berkhidmat kepada Dr. Mahathir apabila dilantik sebagai Senator pada 2 November 1999 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan lapan hari kemudian.

Pada 27 Mac lalu, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam susunan Kabinet baru yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pendidikan awal Abdul Aziz bermula di Sekolah Melayu Gunong Panjang, Gopeng, Perak sebelum ke Government English School, Gopeng.

Beliau kemudiannya meneruskan pelajaran ke Sekolah Menengah Iskandar Shah, Parit, Perak dan ke Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan serta Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1972, Abdul Aziz melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dengan memperoleh ijazah sarjana muda sastera.Kerjaya beliau bermula sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Pasar Road, Kuala Lumpur.

Walaupun telah lama berkecimpung dalam UMNO, namun beliau secara serius mula bertanding untuk jawatan dalam parti pada Mac 1987 sebagai Ketua UMNO Bahagian Gopeng.

Belau mengekalkan jawatan itu sehingga tahun 1993 dan sekali lagi pada tahun 2001.

Pada pilihan raya umum kesebelas beliau telah dipilih bertanding di kawasan Parlimen Shah Alam.

No comments: